Pages

Tlg Klik Kat Bawah

Tlg Klik Kat Bawah

Tuesday, November 30, 2010

Islam: 15 Asas Jati Diri Muslim Cemerlang

“Iblis berkata: “Ya Tuhanku! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat,
maka pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik
(perkara maksiat) di muka bumi,
dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali hamba-hamba Mu yang Ikhlas dari kalangan mereka”[1].
Orang yang ikhlas ialah orang yang benar-benar merealisasikan pengabdian terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala dan dialah orang yang benar-benar berhak mendapat status ‘hamba Allah’ yang tidak dapat dikuasai oleh syaitan, sepertimana firmanNya:
Maksudnya:
“Sesungguhnya hamba-hambaKu, kamu (wahai syaitan) tidak dapat menguasai mereka.
cukuplah Tuhanmu sebagai penjaga”[2].
 
Bahan Binaan Kedua:
Menjauhi perkara khurafat, syirik dan bid’ah. Syaitan memberi tumpuan untuk menyesatkan manusia melalui amalan-amalan khurafat, syirik dan bid’ah kerana amalan sedemikian boleh melucutkan pegangan agama yang terbina di atas asas tauhid La Ilaha Illa Allah. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
يأتى الشيطان أحدكم فيقول
من خلق كذا؟ من خلق كذا؟
حتى يقول من خلق ربك؟
فإذا بلغه فليستعذ بالله ولينته.
Maksudnya:
“Syaitan akan mendatangi seseorang dari kamu lalu dia membisikkan:
“Siapakah yang menjadikan demikian? Siapakah yang menjadikan demikian?
Sehingga dia berkata: Siapakah yang menjadikan Tuhan kamu?”
Maka bila sampai ke situ hendaklah dia (muslim) mohon perlindungan kepada Allah dan terus berhenti”[3].
Setiap muslim wajib sedar bahawa syaitan menumpukan segala upayanya untuk meruntuhkan asas ini kerana dia mengetahui bahawa tauhid adalah penentu bagi keislaman atau kekufuran manusia dan juga penentu nasib mereka sama ada ke syurga atau neraka. Walau sebanyak mana pun amal ibadat yang dilakukan, jika ia terpalit dengan unsur kesyirikan, maka ia akan gugur tanpa sebarang nilai di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala, sebagaimana firmanNya:
Maksudnya:
“Jika kamu mempersekutukan (Allah) nescaya akan terhapuslah segala amalanmu
dan kamu akan termasuk orang yang rugi”[4].
Menyedari betapa amalan syirik boleh memusnahkan segala amalan, maka syaitan berusaha sedaya upaya untuk memalitkan manusia dengan unsur kesyirikan melalui pelbagai cara dan muslihat termasuklah menggunakan khidmat kuncu-kuncunya dari kalangan manusia sendiri. Justeru setiap muslim wajib mengambil langkah ‘pertahanan hadapan’ dengan menjauhi sebarang amalan yang meragukan, baik dalam bentuk kepercayaan, perkataan mahupun perbuatan. 
Bahan Binaan Ketiga:
Berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kerana hanya Al-Quran dan As-Sunnah sahaja yang menunjukkan jalan yang lurus, sedangkan syaitan pula berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan kita dari landasan yang lurus tersebut. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:
“Dan Sesungguhnya inilah jalan Ku yang lurus, maka ikutilah ia dan janganlah kamu ikut jalan-jalan yang lain kerana ia mencerai-beraikan kamu dari jalanNya”[5].
Ketika menjelaskan maksud ayat ini, Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menggariskan satu garisan lurus di tanah seraya berkata: “Inilah jalan Allah yang lurus”, kemudian Baginda gariskan pula beberapa garisan lain di sebelah kiri dan kanan garisan lurus itu seraya berkata: “Inilah jalan-jalan yang setiap satunya ada syaitan yang menyeru kepadanya”. Kemudian baginda membaca ayat tersebut[6]. Justeru antara cara yang paling berkesan untuk mengawal daripada serangan syaitan ialah beriltizam dengan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber ilmu dan amalan.
 
Bahan Binaan Keempat:
Membanyakkan ketaatan kerana setiap ketaatan yang dilakukan akan menyiksa perasaan syaitan lantaran mengingati kesalahannya ketika dia mengingkari perintah Allah supaya sujud kepada Adam. Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
إذا قرأ ابن آدم السجدة فسجد
اعتزل الشيطان يبكى يقول:
يا ويله أمر ابن آدم بالسجود فسجد فله الجنة
وأمرت بالسجود فعصيت فلي النار.
Maksudnya:
“Bila anak adam membaca surah yang ada as-Sajdah lalu dia sujud,
maka syaitan akan memencilkan diri sambil menangis dan berkata:
“Alangkah celakanya! Anak Adam disuruh sujud lalu dia sujud
maka dia mendapat ganjaran syurga,
sedangkan aku pula disuruh sujud
tetapi aku ingkar maka aku mendapat balasan neraka[7]”.
 
 
Bahan Binaan Kelima:
Sentiasa bersama jamaah. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
فإن الشيطان مع الواحد
وهو من الإثنين
أبعد ومن أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة .
Maksudnya:
“Sesungguhnya syaitan bersama orang yang berseorangan
dan dia lebih jauh daripada orang yang berdua.
Sesiapa yang ingin menikmati bau Syurga maka hendaklah dia melazimi jamaah”[8].
Jamaah yang dimaksudkan di sini ialah golongan yang berada di atas landasan kebenaran meskipun bilangannya sedikit, sebagaimana Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا تزال طائفة من أمتي ظاهرين على الحق
لا يضرهم من خذلهم حتى يأتي أمر الله وهم كذلك.

Maksudnya:
“Sekumpulan dari umatku tetap jelas berada di atas kebenaran,
mereka tidak terjejas dengan orang yang tidak mengikuti mereka,
dan mereka tetap sedemikian sehinggalah Allah mendatangkan urusanNya”[9]
Dalam konteks ini Ibn Mas’ud radhiallahu 'anh berkata:
الجماعة ما وافق طاعة الله ولو كنت وحدك.
Maksudnya:
“Jamaah ialah yang menepati ketaatan terhadap Allah
walaupun engkau berseorangan”[10].
 
Bahan Binaan Keenam:
Menjaga solat berjamaah. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
ما من ثلاثة في قرية ولا في بدوٍ لا تقام فيهم الصلاة
إلا قد استحوذ عليهم الشيطان،
فعليك بالجماعة فإنما يأكل الذئب القاصية.
Maksudnya:
“Tidak mendiami sebuah kampung atau pendalaman oleh tiga orang
tanpa didirikan solat (berjamaah) padanya,
melainkan mereka akan dikuasai oleh syaitan.
Maka wajib ke atas kamu berjamaah kerana serigala hanya memakan kambing
yang terpencil”[11].
 
 
Bahan Binaan Ketujuh:
Memohon perlindungan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui Isti’azah[12], sebagaimana firmanNya:
Maksudnya:
“Dan jika syaitan mengganggu mu dengan suatu gangguan,
maka mohonlah perlindungan kepada Allah”[13].
Manusia tidak mungkin dapat mengatasi tipu daya syaitan melainkan dengan pertolongan daripada Tuhan yang menjadikan syaitan itu. Diriwayatkan bahawa seorang ulama Salaf bertanya kepada muridnya:
“Apakah yang akan kamu lakukan jika syaitan menggoda kamu”? Muridnya menjawab: “Aku akan melawannya”. Guru itu bertanya lagi: “Sekiranya dia datang semula”? Murid itu menjawab: “Aku akan melawannya”. Guru itu bertanya lagi: “Sekiranya dia datang lagi”? Murid itu menjawab: “Aku akan melawannya”. Guru itu berkata: “Ini mengambil masa, apakata jika engkau melalui kawasan ternakan kambing tiba-tiba anjing tuannya menyalaki dan menghalang engkau dari melintasinya? Murid itu menjawab: “Aku akan melawan dan merempuhnya sekuat tenaga”. Kemudian Guru itu berkata: “Ia memenatkan kamu, tetapi jika kamu minta tolong tuan punya kambing itu nescaya dia akan menghalaunya dari kamu”[14].
Justeru jika kita ingin menyelamatkan diri daripada godaan syaitan, kita mesti memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala, Tuhan yang menjadikan syaitan tersebut. Bacaan isti’azah ini disunatkan dalam keadaan tertentu seperti ketika hendak membaca Al-Quran, ketika hendak masuk masjid, ketika hendak memulakan solat, ketika terasa ada gangguan syaitan, ketika hendak memasuki tandas, ketika marah dan ketika terdengar salakan anjing atau nahikan (suara) keldai pada waktu malam.
 
Bahan Binaan Kelapan:
Membaca zikir-zikir harian siang dan malam, pagi dan petang. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang berpaling dari peringatanku
maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit
dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”[15].
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajar umatnya zikir-zikir yang patut dibaca pada setiap keadaan, masa dan tempat, seperti zikir sebelum dan selepas tidur, zikir waktu pagi dan petang, zikir ketika makan minum, menaiki kenderaan, memakai dan menanggalkan pakaian, keluar masuk masjid atau rumah dan hatta zikir ketika keluar masuk tandas[16].
Dengan mengamalkan zikir-zikir ini, setiap muslim sentiasa berada dalam keadaan mengingati Allah Subhanahu wa Ta’ala dan dengan ingatan itu dia senantiasa berada di bawah jagaanNya. Sebaliknya, tanpa mengamalkan zikir tersebut dia tidak mendapat jaminan kawalan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala dan kerana itu dia terdedah kepada serangan syaitan. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Maksudnya:
“Sesiapa yang berpaling dari peringatan Tuhan Yang Maha Pemurah,
Kami hantarkan untuknya syaitan bagi menjadi teman rapatnya.
Sesungguhnya mereka (syaitan) itu benar-benar akan menghalangi mereka
dari jalan (yang lurus),
sedangkan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk”[17]. 
 
Bahan Binaan Kesembilan:
Banyak membaca Al-Quran terutama surah-surah dan ayat-ayat yang mempunyai fadilat khusus untuk mencegah daripada serangan syaitan. Antara yang paling penting ialah membaca Surah Al-Baqarah di rumah, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
لا تجعلوا بيوتكم مقابر
إن الشيطان ينفر من البيت الذي تقرأ فيه سورة البقرة.
Maksudnya:
“Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti perkuburan,
sesungguhnya rumah yang dibaca di dalamnya surah Al-Baqarah
tidak boleh dimasuki syaitan”[18].
Demikian juga membaca ayat Al-Kursi sebelum tidur[19], membaca dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah pada waktu malam[20] dan membaca Al-Mu’awwizat, iaitu Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas sebelum tidur[21].
 
Bahan Binaan Kesepuluh:
Memperbanyakkan solat sunat di rumah atau di tempat kediaman. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
صلوا أيها الناس في بيوتكم فإن أفضل صلاة المرء في بيته إلا الصلاة المكتوبة.
Maksudnya:
“Wahai manusia! Bersolatlah di rumah kamu
kerana sebaik-baik solat seseorang itu adalah di rumahnya, kecuali solat fardu”[22].
Dalam hadith lain Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم
ولا تتخذوها قبورا.

Maksudnya:
“Jadikan sebahagian dari solat kamu di rumah
dan janganlah kamu jadikannya (rumah) seperti perkuburan”[23].
Telah sedia dimaklumi bahawa kawasan perkuburan, kawasan peninggalan lama serta tempat-tempat sunyi dan terpencil tidak dilakukan ibadat solat padanya. Justeru Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh kita bersolat di rumah supaya rumah kita tidak sunyi daripada ibadat solat sama seperti tempat-tempat tersebut. Imam An-Nawawi menjelaskan kelebihan solat sunat di tempat kediaman dengan katanya yang bermaksud:
Baginda menggalakkan solat sunat di rumah kerana ia lebih tersembunyi dan lebih jauh daripada perasaan riya’ serta lebih terkawal daripada kemusnahan pahala. Di samping itu ia juga untuk menambah keberkatan rumah dengan turunnya rahmat serta para Malaikat di samping menjauhkannya dari syaitan[24].
 
 
Bahan Binaan Kesebelas:
Membersihkan diri dan tempat tinggal dari segala perkara yang disukai oleh syaitan tetapi dibenci oleh para Malaikat. Setiap muslim dikawal oleh malaikat yang ditugaskan untuk menjaganya, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
 
Maksudnya: “Tidak ada suatu jiwa pun melainkan ada penjaganya”[25].
Justeru bila seseorang itu melakukan perkara yang dibenci oleh malaikat, malaikat akan lari meninggalkannya dan bila tiada lagi malaikat, syaitan akan mengambil alih tempat tersebut. Oleh yang demikian setiap muslim mesti membersihkan diri dan tempat tinggalnya dari perkara-perkara yang dibenci oleh malaikat dan disukai oleh syaitan seperti gambar, patung, loceng, anjing dan suara nyanyian. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman kepada syaitan:
Maksudnya: “Dan hasutlah siapa yang kamu mampu antara mereka (manusia) dengan suara kamu”[26].
Sebahagian ulama tafsir mentafsirkan maksud ‘suara syaitan’ itu sebagai lagu nyanyian atau perkara yang melalaikan[27]. Berdasarkan tafsiran ini, maka rumah yang ada di dalamnya suara nyanyian adalah rumah yang suka didiami oleh syaitan.
Dalam beberapa hadisnya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pula bersabda:
لا تصحب الملائكة رفقة فيها كلب أو جرس.
Maksudnya: “Para Malaikat tidak akan menemani sesuatu rombongan yang ada pada mereka anjing atau loceng”[28].
لا تدخل الملائكة بيتا فيه كلب ولا صورة.
Maksudnya: “Para Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar”[29].
لا تدخل الملائكة بيتا فيه تماثيل أو تصاوير.
Maksudnya: “Para Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada di dalamnya patung-patung atau gambar-gambar”[30].

Hadith-hadith di atas jelas menafikan kemasukan para Malaikat ke dalam rumah yang ada loceng, gambar atau patung. Penafian yang terkandung dalam hadith ini meliputi semua jenis gambar dan patung sama ada dari hasil kerja tangan atau alat foto. Dalam konteks ini, Imam An-Nawawi berkata (maksudnya):
Dan tidak ada beza dalam perkara ini semua antara objek berbayang (patung) dan yang tidak berbayang (gambar), ini adalah ringkasan mazhab kami (mazhab Asy-Syafie) dalam persoalan ini dan juga pendapat jumhur ulama dari kalangan Sahabat, Tabien dan orang selepas mereka, dan ia juga adalah pendapat At-Thauri, Malik dan Abu Hanifah[31].
Walau bagaimanapun masih ada yang terkecuali daripada penafian ini, iaitu:
·         Pertama: Patung permainan bagi kanak-kanak perempuan.
·         Kedua: Gambar-gambar untuk urusan rasmi seperti gambar kad pengenalan dan paspot.[32]
·         Ketiga: Gambar semua objek yang tidak ada ruh seperti pokok, sungai, tanaman, bukit bukau dan sebagainya[33].
 
Bahan Binaan Keduabelas:
Menjaga seluruh anggota badan, khasnya seperti mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara maksiat. Begitu juga menjaga mulut, perut, kemaluan, tangan dan kaki daripada memakan, mencabul dan melakukan semua jenis perkara haram atau maksiat. Anggota-anggota ini jika tidak dijaga, seolah-olah berperanan sebagai pintu yang menjadi jalan masuk bagi syaitan. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
كل ابن آدم أصاب من الزنا لا محالة فالعين زناها النظر
واليد زناها اللمس والنفس تهوَى وتحَدَّث
ويصدق ذلك أو يكذبه الفرج.
Maksudnya:
“Setiap anak Adam pasti terkena sebahagian daripada (dosa) zina,
kerana zina mata adalah melalui pandangan,
manakala zina tangan melalui sentuhan,
sedang nafsu itu cenderung dan berkeinginan tetapi
hanya kemaluanlah yang mengia atau menidakkannya”[34].
Demikian juga mengawal mulut (lidah) daripada kata-mengata, mengumpat, memfitnah, caci mencaci, bercakap perkara sia-sia, keji, lucah dan bohong, kerana lidah boleh menjadi punca kepada segala keburukan. Pepatah melayu ada mengatakan: “Sebab pulut santan binasa dan sebab mulut badan binasa”. Dalam konteks ini, Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada para Sahabat:
وهل يكب الناس في النار على مناخرهم
إلا حصائد ألسنتهم.
Maksudnya:
“Tidaklah manusia dihumbankan mukanya ke dalam api neraka
melainkan disebabkan hasil kerja lidah mereka”[35].
Di samping itu Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyifatkan orang yang tidak menjaga lidahnya sebagai orang yang tidak beriman, sebagaimana sabdanya:
ليس المؤمن بالطعان
ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء.
Maksudnya:
“Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mengutuk,
melaknat, mencarut dan mencaci”[36].
Dalam hadith lain Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إن أحبكم إلي وأقربكم مني مجلسا يوم القيامة
أحاسنكم أخلاقا
وإن أبغضكم إلي وأبعدكم مني يوم القيامة
الثرثارون والمتشدقون والمتفيهقون.
Maksudnya:
“Sesungguhnya orang yang paling aku sayangi dan yang paling hampir kedudukannya denganku pada hari Kiamat
ialah orang yang paling baik akhlaknya di kalangan kamu,
dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan yang paling jauh kedudukannya denganku pada hari Kiamat
ialah orang yang banyak cakap mengada-ngada,
banyak mengata orang serta menyombong diri”[37].
Demikian duabelas ‘bahan binaan’ yang perlu digunakan oleh setiap muslim untuk membina kubu pertahanan demi menahan serangan syaitan. Tidak sekadar itu, bahan-bahan binaan ini juga adalah penting demi menjaga jati diri seorang muslim agar ia tidak diruntuhkan oleh syaitan dan kuncu-kuncunya. Pada masa kini kita dapati banyak kaum muslimin yang terkalah kepada serangan syaitan semata-mata kerana mereka tidak memiliki kubu pertahanan yang kukuh. Maka perhatikanlah hakikat ini!

0 comments:

Post a Comment

Tlg Klik Kat Bawah